3 KAWAN, 3 NEGARA



SHUHADA MANSOR kagum dengan kecekalan tiga anak muda yang nekad meneroka tiga negara dalam misi mengenali lebih dekat perihal manusia daripada latar belakang bahasa, budaya, agama bahkan adat berbeza. Kongsi kisah suka duka perjalanan mereka yang diceritakan kepada Gen Y.

Bermula dengan borak kosong di kedai makan, akhirnya tiga anak muda ini merealisasikan hasrat mereka berbasikal merentasi tiga negara dalam masa 20 hari. Pengalaman menarik ini diceritakan kepada penulis dengan penuh bersemangat diselangi kisah suka duka ketika terpaksa menghadapi pelbagai dugaan dan cabaran sepanjang perjalanan.

Berbasikal dalam jarak yang jauh bukannya mudah. Namun bagi Wan Abdul Haq Wan Yaacob, 29, yang mahu dipanggil Dol menjelaskan, apa saja kesukaran yang bermain di kepala pada peringkat awal pasti lenyap sekiranya kita nekad untuk melakukannya.

Perjalanan sejauh 1,400 kilometer (km) itu memberi persepsi berbeza buat Dol dan dua rakannya berusia 25 tahun iaitu Muhammad Adib Mohamad Al dan Mohd Azrulhan Mohd Shafiei mengenai sifat kemanusiaan sesama manusia selain meneroka sendiri flora dan fauna.

Cuma berbekalkan RM400 setiap seorang, Dol berkata, misi itu memakan masa selama 20 hari bermula 25 Februari lalu. Menurut Dol, duit itu dikumpul mereka sendiri dengan setiap seorang perlu mengeluarkan RM400.

“Mungkin secara kasar kita akan anggarkan jumlah itu tidak cukup tetapi memadai buat kami kerana tidak tinggal di hotel. Kami bawa khemah dan bekalan makanan sendiri seperti mi segera, makanan dalam tin serta makanan ringan untuk menjamu selera. Jika berhenti di mana-mana pekan kecil, kami cuba beli nasi putih dan lauknya kami sediakan sendiri, itu lebih jimat.

“Kebanyakan kawasan kami berhenti untuk bermalam adalah di tepi pantai. Lebih mudah dan senang untuk berkhemah. Antara kenangan manis yang saya ingat ketika kami di Pantai Puteri, Melaka. Selepas berkayuh dari Batu Pahat, semuanya lapar dan sejuk jadi kami putuskan untuk makan mi segera. Tapi bukan mi segera saja, kami berkesempatan menikmati udang segar dari laut yang dibeli dengan harga cuma RM4 daripada nelayan di situ yang menangkap udang pesisir pantai. Satu memori baru yang kekal kukuh dalam ingatan,” katanya.

Katanya, berbasikal tidak memerlukan minyak petrol untuk bergerak seperti kenderaan lain. Justeru, ia lebih jimat, sekali gus dapat mengurangkan kos perbelanjaan.

Menurut Dol, apabila terlalu fikirkan mengenai misi jelajah ke negara orang, yang selalu difikirkan adalah tempat tinggal. Itu kebiasaannya.

Namun, bagi tiga sekawan ini, mereka tidak terlalu pentingkan keselesaan kerana apa yang lebih penting adalah rasa berdikari dan dekat dengan masyarakat yang diutamakan.

Katanya lagi, selain makanan, dana itu digunakan untuk membeli tiket bas dari Kuala Lumpur ke Ipoh, Perak, tiket kereta api dari Hatyai ke Narathiwat dan tiket bot dari Takbai, Thailand ke Pengkalan Kubur, Kelantan.

RENTAS LEBIH 15 PEKAN KECIL

Ketiga-tiga anak Johor ini memulakan misi mereka dengan kayuhan pertama dari Johor Bahru memasuki Singapura. Meneroka beberapa hari di negara pesat membangun itu membuatkan mereka lebih kenal perilaku masyarakat tempatan berbanding apa yang dihidangkan di televisyen selama ini.

“Singapura negara yang bersih dan rakyatnya penuh berdisiplin tetapi pada pandangan saya sendiri, masyarakat tempatan di sana kurang rasa tanggungjawab terhadap orang lain jika nak dibandingkan dengan kita (masyarakat Malaysia) ataupun penduduk Thailand.

“Sebagai orang luar, kami kurang mahir susur galur laluan basikal di sana tetapi apabila mengetahui diri dah buat salah, mudah rasa takut kerana polis di sana lebih tegas tegurannya. Itu sedikit sebanyak apa yang saya boleh kongsi ketika di Singapura,” katanya.

Berkongsi pengalaman sama, Adib berkata, antara daerah kecil yang mereka lalui termasuk Pontian, Batu Pahat, Port Dickson, Kuala Kangsar, Taiping, Sungai Petani, Jitra, Bukit Kayu Hitam dan beberapa lagi bandar kecil di Thailand.

“Jika nak bandingkan penduduk di setiap kawasan memang ada bezanya, lain tempat lain cara hidup. Seperti yang kita sudah tahu, masyarakat Malaysia umumnya memang peramah. Jika ditanya pandangan saya terhadap penduduk Thailand, apa yang saya dapat lihat mereka ini cukup ringan tulang untuk membantu orang lain tak kiralah sama ada orang luar atau sesama mereka walaupun tidak kenal satu sama lain.

“Kawasan kami lalui adalah di Selatan Thailand, dianggarkan lebih 95 peratus masyarakatnya beragama Islam. Komunikasi juga tidak terlalu sukar kerana rata-rata mereka memahami bahasa Melayu tetapi bezanya dapat dilihat dari segi adab dan perlakuan. Bagi saya, berpeluang melihat cara hidup masyarakat lain dengan mata kepala sendiri berjaya mencipta dimensi baru perihal peradaban manusia,” katanya.

DIBANTU ORANG TAK DIKENALI

Sementara itu, Azrulhan berkata, walaupun mereka diduga pelbagai cabaran fizikal dan mental tetapi tidak pernah sesekali terlintas untuk membatalkan misi itu. Jelasnya, ketika di Sungai Petani, Kedah, Adib mengalami demam panas selama beberapa hari hingga dia terpaksa dibawa ke klinik, namun semangat berkobar-kobar mahu menyempurnakan misi itu membuatkan mereka tetap meneruskan perjalanan.

Bukan itu saja, beberapa masalah teknikal seperti tayar basikal pancit dan rantai basikal putus terpaksa dihadapi, namun mujurlah mereka bersiap sedia lebih awal dengan membawa peralatan membaiki kerosakan.

Azrulhan menambah, antara cabaran lain termasuklah ketika melalui kawasan berbukit di Thailand iaitu Bukit Jelapang, sempadan antara Yala dan Narathiwat.

“Kawasan di situ berbukit bahkan jalan raya juga beralun dan curam. Nak dijadikan cerita, Adib terjatuh sewaktu turun bukit, kecederaan tak teruk tapi luka di kaki dan tangan. Yang menariknya, sewaktu kami sedang mengangkat basikal Adib, ada seorang pak cik menaiki kenderaan pacuan empat roda turut melalui kawasan itu. Dia berhenti dan tanya apa tujuan kami, lepas sesi soal jawab dia mengajak kami bermalam di rumahnya.

“Tipu kalau kami tidak ada rasa was-was pada mulanya tapi apabila melihat keikhlasan itu, kami akui dia memang seorang yang baik. Lebih memeranjatkan apabila kami ke rumahnya dan dapat tahu dia bukan calang-calang orang kerana memegang jawatan ketua daerah di situ. Itu antara kenangan manis yang tak akan kami lupakan. Memang ada hikmah di sebalik musibah yang terjadi,” katanya.

Secara keseluruhannya, Dol berkata, misi itu antara kejayaan terbaik bagi mereka bertiga setakat ini. Jika sebelum ini mereka hanya berbasikal di kawasan Semenanjung tetapi dengan kejayaan ini membuatkan mereka yakin dapat melakukan sesuatu lebih besar pada masa depan.

Difahamkan, misi ini juga berperanan sebagai latihan bagi mereka untuk projek kayuhan seterusnya dinamakan ‘Journey To HomeLand: United Kingdom - Malaysia’. Misi ini membabitkan kayuhan sejauh 29,000km dalam tempoh 17 bulan bermula di United Kingdom pada Julai ini. Semoga berjaya anak muda Malaysia!

Jutaan terima kasih buat saudari  Shuhada Mansor, Journalist Generasi Y akhbar harian Metro.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/22

http://www.hmetro.com.my/articles/Tigakawan_tiganegara/Article

0 comments:

Post a Comment

 

About Us

Malaysia based apparels, goods, merchandise, bicycle parts makers and supply. We also inspiring and empowering people to travel by bicycle as a part of life for better nature.

Description

We and the brands are the same entity and run by the same people, we market how we want, move it at our own pace and remember to never outsell or outgrow our seams. We look to seed at the right pace, continue to be individual in our own nature. Our Product are limited quantity. We customize apparel from tops to bottoms.

Translate

Mission

"JOURNEY TO HOMELAND" This mission is about two brave youth with passionate in cycling and fear nothing, are going to embarks one of the greatest journey in their life to discover the unknown land and people they haven't met yet in their life. Crossing more than 22 countries; treacherous environment ranging from forest, desert to the snowy village road, encounter hundreds of different languages and last but not least, the burning temperature of Iranian desert. This journey will set a wildfire to Malaysian people to explore the world beyond their horizon! DREAM; EXPLORE; DISCOVER!

Donations & Sponsors